Thursday, August 16, 2007

menyambut huluran tangan tuhan

amoi cina yang bilang sama saya yang dia tak mahu menganut silam - jadi melayu kerana dia tak mahu berkhatan, dan dia mengingatkan bahawa sunat itu membuang zakar kesemuanya.

saya masih berfikir hingga hari ini beberapa perkara selepas amoi cina itu beredar pergi.

saya masih tak pasti secara pas, - antara india, china dan tanah arab - yang manakah yang membawa agama pencerahan kepada bangsa melayu? sebabnya antara teori yang dibawakan oleh para pengkaji dan juga dari para oriantalis, saling bertitik belakang. dan yang paling menyenangkan ialah kita bisa menggabungkan ketiga2 idea ini menjadi satu, biar mereka bersatu: bahawa islamnya nusantara ialah dengan kedatangan para penda'wah dari 3 bangsa, arab, china dan india. yang ini lebih pasti kerana ketiga-tiga bangsa ini lebih tua menganut islam ketimbang bangsa melayu yang hidung kemek.

tetapi yang saya pasti ialah bahawa bangsa saya ini telah mencintai agama baharu mereka melebihi segalanya. kerana itulah pada pengakhiran ialah mereka telah memelayukan islam, hanyakerna mereka mahu islam kekal sebagai agama mereka.

justeru apa saja yang dikenal sebagai islam di dunia melayu, maka segalanya bisa disinonimkan dengan "islam". lalu menjadilah sifir umum kepada masyarakat di nusantara ini "melayu = islam" dan "islam = melayu".

ini bisa dipahami kerana pada permulaan islamnya raja-raja melayu seperti di pasai, demak, kemudiannya melaka, kedapatan bangsa asing sangat kurang, yang menguasai jagat kepulauan ini hanyalah kita-kita juga. lalu sifir ini tidak menjadi salah pada sintak dan pada logis. tetapi apabila bumi melayu ini mula kebanjiran dengan marga yang kulitnya lain dari coklat, ada yang kuning langsat, ada yang semakin gelap, dan yang lain lagi, maka sifir ini menjadi satu hambatan kepada agama yang bangsa melayu ini.

kelakuan bangsa melayu yang tegar mengekalkan sifir ini menjadikan islam terisolir, hanya milik bangsa yang seorang ini sahaja, bukan untuk bangsa cina dan juga bukan untuk bangsa india, malah bukan juga untuk bangsa negreto atau kayan, kenyah, iban dan dusun.

lalu berabad lamanya sifir ini diteruskan oleh generasi kemudian dari setiap bangsa, walaupun pada keadaan nyata bumi bertuah ini sudah bukan kepunyaan melayu sendirian, tetapi ketuanannya telah hilang sedikit-sedikit, bergelincir mengikut gelinciran zaman.

sedangkan pada natijahnya, islam itu bukan identik pada arab, bhukan juga pada cina, bukan pada india, malah terlalu jauh untuk bangsa melayu. islam agamanya manusia. islam tidak wajar disangkut padanya sesuatu rupa, sesuatu kultur, sesuatu acara, sesuatu dogma. islam milik tuhan yang menjadikan jagat raya. islam harus menjadikan manusia itu kekal dalam budaya mereka, bahasa mereka, rupa mereka. islam bukan menghapuskan kemanusiawiahan, melupuskan keluhuran, menghancurkan kebaikan dan menghilangkan rupabangsa. tetapi islam memberikan penyempurnaan. kekurangan ditampungkan, kelompongan diisikan, keretakan ditampali. yang dilarang ialah sesuatu yang menyalahi firman tuhan. maknanya islam bukan melayu dan melayu bukan islam. ini baharu sifir yang benar adanya.

kebalikan dari itu, agamanya bangsa nasrani mula menyebar. walaupun pada dasarnya agama ini hanya untuk satu bangsa, tetapi kerna keinginan yang kuat oleh penganutnya, dan kerana keyakinan yang membulat bahawa agama itulah yang menyelamat manusia dari kehancuran oleh tangan-tangan mereka, dan bakaran api neraka, maka mereka membuka pintu agamabangsa itu seluasnya.

kerana itu, ketakutan yang tak berasas, dan tindakan yang gegabah, selalunya merugikan, malah tidak menyenangkan. marilah kita membersihkan hati nurani kita, menetapkan satu gagasan baru, bahawa islam bukan milik sesuatu bangsa. islam tak kenal erti melayu, tak dapat dinasabkan padanya seni, tak bisa dikatakan padanya budaya, dan juga tak boleh diungkapkan tamadun untuknya. islam sebenarnya ialah untuk semua manusia, yang datang dari tangan pencipta kita.

kita tidak harus merasa takut kehilangan islam, kerna islam bukan milik kita. kita tidak harus berasa kasihan apabila orang sudah tidak masuk melayu, tetapi mereka sebenarnya masuk islam.

tetapi kita harus punya hati yang besar, kerna kita meredhai manusia lain mengnyambut huluran tangan tuhan

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home