Perihal Memilih
Andai saja kita terjumpa sebuah lampu minyak tanah di sebuah gua lalu kita menggosoknya dan serta-merta keluar jin toncet. Kemudian jin yang rambutnya berikat tegak di atas kepala itu merasakan begitu bertuah lantaran dia dilepaskan dari penjara. Sambil mengeliat dan membuat sedikit senaman ringan, jin toncet berbadan besar itupun mengucapkan terima kasih dan menawarkan tiga peluang permintaan untuk di kabulkan sebagai tanda penghargaannya atas “ketidak-sengajaan” kita melepaskannya.
Apakah yang kita fikir untuk tiga peluang itu?
Ketera besar? Mungkin! Tapi nanti harga kereta akan turun sebab kereta adalah sesuatu yang susut nilai. Hari ini harganya satu juta, mungkin tahun depan sudah jadi 500 ribu saja. Rumah besar berpagar tinggi? Boleh saja. Tapi nanti siapa yang ingin bayarkan cukai pintu yang juga besar itu? Entah-entah akhir bulan api kena potong sebab tak terbayar. Wang segudang? Wah... ini tentu lumayan! Tapi nanti siapakah yang akan menguruskannya? Macam mana nak elak dari cukai simpanan? Maling dan perampok yang cukup pandai mencuntan dan merampok? Jadi apa yang kita mahukan? Kalaulah saya berjumpa dengan jin itu, saya akan berkata kepadanya: “Aku tak perlukan tiga peluang, cukup dengan satu sahaja”. Lalu kata jin itu: “Apa dia?”. “Doa yang makbul”. Maka dengan ini saya akan memperoleh apa saja melalui doa yang saya panjatkan”. Inilah namanya kebijaksanaan dalam mengambil peluang.
Dan rasanya cerita diatas adalah dongengan untuk anak-anak kecil yang berhingus. Bagi manusia yang sudah bersunat, maka janganlah berangan-angan ingin berjumpa dengan jin toncet sebab khabarnya jin toncet tidaklah mempunyai kekuatan untuk memakbulkan permintaan. Hanya orang gila saja percaya khabar semacam ini.
Andai kita diberi pilihan untuk memilih antara dua benda yang kedua-duanya kita inginkan. Ambil contoh bila kita diberi pilihan antara sebuah rumah agam tiga tingkat dan sebuah ketera ferrari. Mana satukah yang kita pilih?
Saya mahukan sebuah rumah dan saya juga mahukan sebuah kereta. Kedua-duanya saya inginkan, lalu bagaimana saya menyikapi keadaan ini? Sebenarnya sukar bagi saya untuk membuat keputusan antara dua tawaran yang saling kuat, yang semacam inilah. Kadang-kala pilihan akan lebih menyusahkan daripada tiada pilihan. Tapi kadang-kala tiada pilihan akan menekan jiwa kita juga.
Begitulah juga apabila melihat kepada pilihan antara “keaslian” dan “kemodenan”. Ini bukan terjemahan daripada buku Prof Dr Yusuf Qaradhawi. Tetapi ia lebih menekan dalam budaya bangsa yang hidup di Nusantara ini. Kalau Dr Qaradhawi menghuraikan dalam mauduk Islam maka penjelasan saya lebih kepada budaya Melayu. Tetapi apa yang menjadi titik persilangannya ialah aliran metode yang sama digunapakai dalam menangani problematika ini.
Sebenarnya dalam zaman ini, iaitu setelah bangsa kita yang mundur kebelakang dalam puluhan langkah dan dalam mata-mata bangsa kita semakin celik melihat ketamadunan barat serta timur. Maka bangsa yang mundur ketinggalan ini pun mula terkejut lalu terlopong besar lantas berteriak:. “Kita perlu maju seperti majunya mereka!”. Untuk itu ada sesetengahnya melucutkan tengkolok lalu menggantikannya dengan topi “cowboy”. Ada yang membuang baju kurung dan disarungkannya skirt pendek. Berseberangan mereka pula ada kelompok yang terus menolak sabun buku Fab dan Pizza Hut.
Lalu kita hairan; mengapa wujud dua sikap yang keras terhadap tamadun luar? Satunya menolak terus dan satunya menerima terus. Dua sikap yang tidak dapat disatukan, saling antagonis dan serang menyerang. Inilah masalahnya; antara menjaga keaslian bangsa kita dengan kemodenan yang datang dari luar. Kita manusia-manusia yang masih cintakan bangsanya serta budayanya tetapi dalam masa yang sama ingin menjadi maju, mengalami gangguan emosi dan pikiran; bagaimana ingin jadikan budaya kita ini unggul dan mampan tanpa membuang keaslian dan dalam masa yang sama mencerap kemajuan?
Jadi kita perlu berbuat sesuatu untuk mencari “Budaya Melayu Unggul”. Maknanya kita perlu beramal dengan satu bentuk budaya yang baharu. Budaya yang mantap serta berdaya maju.
Hukumnya telah ada; antara integrasi atau asimilasi ataupun akulturasi. Dan hukum difusi budaya [penyebaran] umum menyatakan bahawa sesuatu budaya baru yang akan diambil akan menyebabkan sesuatu budaya lama (yang nilainya berpadanan dengan budaya baru yang mengambil tempatnya itu) akan ditinggalkan, tidak dapat kedua-duanya berjalan secara serentak. Mesti ada sesuatu yang dimenangkan dan mesti ada sesuatu yang tewas.
Justeru kerana itulah kita berhadapan dengan dilema yang besar, sugul kepala-kepala bijak pandai kita. Dan akhirnya masalah ini dibiarkan berlalu begitu saja tanpa ditangani dengan berstruktur dan berkesan. Ada tokoh-tokoh kita yang sering mengingatkan kita akan kepentingan budaya kita (seperti Dr Hassan Ahmad) tetapi kuasa menjalankan budaya bergantung kepada masyarakat banyak. Andai masyarakat kita menolak budaya sendri maka kita tidak dapat menghalangnya sebab pengamal budaya lah yang menentukan sesuatu budaya itu akan hidup ataupun terkubur. Kita berharap masyarakat kita matang untuk mengamalkan sesuatu budaya.
Kemudian bertambah malang lagi bila “Orang Barat yang berbontot hitam” menguasai jabatan-jabatan penting dalam negara dan mereka ini berperanan dalam membuat dasar negara. Dengan menjawat jawatan besar, “Orang Barat Berbontot Hitam” pun mencambuk budaya kita, dicabulinya setiap pilar sendi budaya kita hingga budaya Melayu tidak bersemi lagi. Akhirnya budaya Melayu yang kita sayangi ini sudah tidak dapat berdiri lagi seperti gemilangnya budaya ini suatu masa dahulu.
Sesungguhnya sesuatu budaya; sama ada budaya kebendaan ataupun budaya bukan kebendaan saling bergantungan. Dan mereka berdiri serta tersebar dengan satu elemen yang kuat, yang kita panggil dengan sebutan “asas budaya”, iaitu bahasa. Walaupun sesetengah orang yang tidak mengerti memanggil bahasa sebagai sebuah alat komunikasi semata-mata tanpa melihat fungsinya yang lebih luas, namun kuasa bahasa tidak dapat kita pungkiri. Kerana bahasalah yang menjadi wadah dalam menerangkan sesuatu, bahasa akan menceritakan makna budaya itu, dan bahasalah yang menyebar-luaskan sesuatu budaya. Sehingga itulah, kita dapati bangsa yang maju dalam setiap zaman mempunyai bahasa yang maju, dan bangsa yang maju itu tidak meminjam bahasa bangsa lain melainkan mereka menuturkan bahasa bangsa mereka sendiri.
Tetapi mungkin kerana majalnya [tumpul] otak “Orang Barat Berbontot Hitam” dalam menghayati semangat permodenan, dan mungkin juga mereka itu sudah dibasuh otaknya oleh Orang Barat Totok (atas slogan Beban Bangsa Barat), maka mereka melihat bahawa budaya Melayu itu harus diubah sama sekali melainkan hal ehwal perkahwinan sahaja. Ini seperti British yang menghapuskan Undang-Undang Islam dengan menggantikannya dengan Undang-Undang Sivil, tetapi mengekalkan undang-undang kekeluargaan Islam dalam institusi kekeluargaan. Mereka menyangka bahawa untuk maju perlu mengambil segalanya dari tamadun luar terutamanya Tamadun Barat. Paling utama ialah menggantikan peranan bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris. Kerana itulah ada mak menteri yang cuba menghapuskan bahasa Melayu sendiri dan ada bapak menteri yang meminggirkan bahasa melayu dalam pendidikan.
Saya tidak melihat adanya bapak menteri kita yang punya kepedulian yang besar terhadap budaya bangsa mereka. Malah saya juga tidak melihat adanya mak menteri kita yang bersungguh-sungguh untuk itu. Kalau adapun mereka dapat dikira (termasuk dalamnya ialah Dato’ Rais Yatim). Kalaulah ada yang mengaku, maka itu adalah sasulan mereka yang tengah hilang waras akibat menghisap babiturat ataupun marijuana. Kata seumpama itu adalah kata yang penuh dengan unsur politik dari seorang pelitikus yang menikus – untuk memastikan kelangsungan mereka. Kalaulah mereka itu jujur orangnya, mereka akan berbahasa Melayu dalam sebarang persidangan, temubula, rakaman dan apa saja program dalam negeri. Tetapi nampaknya mereka lebih gemar berbahasa luar kerana takut-takut dipandang kolot. Tetapi saya yakin ada diantara mereka yang sudah pasang niat, namun tersalah dalam bertindak ataupun takut-takut untuk bertindak.
Saya bukan chauvanisme bahasa, juga bukan chauvanisme budaya. Cumanya saya fanatik kepada kebenaran. Benarnya untuk maju ialah dengan memperkasakan Bahasa Melayu sehingga sebanding dengan Bahasa Inggeris. Benarnya untuk maju ialah dengan meningkatkan budaya ilmu dalam masyarakat saya yang malas-malas ini. Benarnya untuk maju ialah dengan menyegarkan kembali spritual rohaniah bangsa saya. Dengan ini kebenaran untuk maju tanpak jelas tanpa terselindung, hingga si buta juga mampu melihat cahayanya – tembus ke dalam hatinya. Namun cahaya ini tidak mampu merodok otak tumpul Orang Barat Berbontot Hitam sebab mereka ini ibarat itik dan kita ini ibarat ayam; seekor berkokok dan seekor berkuak, seekor berkais dan seekor menyudu.
Kita tidak boleh menggantikan budaya kita dengan budaya luar. Justeru kita menolak proses asimilasi sebab ia akan melenyapkan budaya kita. Kita juga menolak integrasi terhadap tamadun luar andai kita terpaksa meninggalkan banyak unsur-unsur budaya kita. Untuk maju itulah kita perlu kekalkan keaslian budaya kita dengan pertamanya mengekalkan bahasa kita. Kemudian kita serap mana-mana budaya luar yang memberuntungkan kita dan kita tinggalkan budaya kita yang tidak membawa kebaikan. Inilah yang dipanggil akulturasi.
Tetapi akan wujud pula masalah lain dalam proses ini; iaitu siapakah yang berhak untuk menentukan unsur yang baru yang akan diadopkan dan unsur lama yang perlu dicicirkan, serta apakah kayu-ukur yang akan digunapakai dalam menetukan kedua-dua unsur itu? Ini kerana setiap orang punya pandangan tersendiri. Seorang menganggap sesuatu itu baik dan orang lain menganggapnya buruk, sehingga jika masalah ini dibiarkan akan menghambat proses pemodenan yang kita harap-harapkan. Kita takut kalau-kalau kita terbuang satu budaya yang sebenarnya tidak merugikan kita atas kecuaian memilah budaya unggul. Sebab dengan ini, untuk kembali mengamalkannya akan lebih sulit daripada terus mengamalkan budaya baru yang telah diterima.
Saya menyarankan kepada bangsa saya, termasuk diri saya untuk melazimi bahasa luar terutamanya Bahasa Inggeris dan juga untuk mendekati budaya-budaya bangsa lain agar kita mampu untuk melihat indahnya budaya kita dan cantiknya budaya mereka. Dan dengan berbuat demikian, ilmu serta pengetahuan kita akan bertambah serta kita akan lebih muda untuk menghasilkan “Budaya Melayu Unggul” yang akan diamalkan oleh kita dan bangsa kita. Saya juga menyeru kepada Orang Barat Berbontot Hitam, supaya mereka itu sedar daripada membontoti Barat. Telitilah sekian banyak sejarah dan renunglah dalam-dalam. Sia-sia saja kalian ini belajar tinggi-tinggi kalau tidak dapat mengamati. Kepada Orang Melayu Kolot, supaya mereka itu membuka dada serta minda dan janganlah terlalu keras bertindak sebab hukum budaya adalah sifatnya berubah dan berkembang. Justeru kita yang mencintai budaya kita inilah yang harus memimpin perkembangannya dan memastikan perubahan itu akan menjadikan kita lebih unggul.
Sesungguhnya masalah memilih adalah satu hal yang rumit. Antara kebijaksanaan dan kebodohan. Antara wawasan dan nafsu. Antara mengamalkan dan meninggalkan. Antara menerima dan menentang. Antara lunak dan keras. Antara kesungguhan dan kepura-puraan.
Saya inginkan keaslian dalam kemodenan. Anda?

0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home