Wednesday, September 15, 2004

"semuanya ada di sini"

aku tak pasti apakah semua orang pernah dengar dialog ini: "semuanya ada diterangkan, lengkap. cuma orang tak pernah nak tengok apa yang ada dalamnya".

dan aku juga tak pasti apakah semua orang yang mendengar dialog itu akan bergegas pulang, capai Al Quran dan mula baca terjemahannya.

tapi yang aku pasti ialah tok guru-tok guru, kyai-kyai, ustaz-ustaz, cekgu-cekgu semuanya kata: "Sampai-sampai nak buat roti canai pun ada!".

orang ramai pun naik hairan. macam mana dalam Al Quran ada cara buat tebar roti telur?

bila orang ramai tanya "mana dia". "para bijak pandai" ini pun cepat menjawab: "Allah berfirman - Tanyalah kepada ahli zikr [orang yang mengerti]".

jadi itu kah caranya nak tebar roti pisang?

dengan jawapan seperti itu, buat orang lain tertawa. kalau orang yang berilmu lagilah sakit perutnya menahan gelak. bukannya apa; ini cerita orang yang kurang ilmunya, kurang pemahamannya.

Allah tidak menurunkan sebuah kitab suci hanya semata-mata untuk mengajar manusia menebar roti, ataupun menerangkan bagaimana kaifiatnya [caranya] memasak gulai masak lemak cili api. dan dalam sebarang kitab suci tak kedapatan cara-cara mendirikan bangunan; tak ada diceritakan tentang berapa tinggi alang, berapa besar lantai dan berapa banyak paku nak di pakai. jadi janganlah "para bijak pandai" ini menuturkan kata-kata yang sebenarnya akan memperlekehkan mereka. kalau ucapan ini dikatakan kepada orang hulu, tak apa lah sebab otaknya orang hulu berkarat sikit. tapi kalau di cakapkan kepada para ilmuan, maka bergolek-goleklah mereka di atas tanah menahan ketawa bikinan "para bijak pandai" ilmu islam.

memang aku tak nafikan bahawa kitab suci berupa satu lembaran agung yang turun dari langit. yang di dalamnya terkandung segala persoalan hidup untuk panduan manusia. lengkap dan sempurna. tidak dapat dicapai pembuatannya dan tidak akan lupus dari dunia. memang ini jadi keyakinan, dibuktikan oleh semua manusia.

tetapi aku menolak pengertian yang tidak berasas. pengertian yang terpesong. fungsi kitab al quran bukan untuk menyatakan hal-hal remeh; tentang kicap soya, tentang kerusi kayu, tentang jalan raya, tentang kipas angin. tuhan tak mahu memenuhkan kitabnya yang agung itu dengan hal-hal remeh dan tidak berguna. hingga jika terpenuh kitab-Nya dengan hal itu, jadilah kitab suci itu hilang "keagungannya". lalu Dia hanya meletakkan pedoman-pedoman hidup manusia, berupa pengkhabaran, ilmu pengetahuan, perkara-perkara metafizik, sejarah umat silam dan perkara-perkara yang akan terjadi nanti. semua isi kandungannya guna untuk pedoman manusia agar mereka mampu menguruskan kehidupan ini. dengan pedoman ini manusia menjadi agung, manusia mampu berjalan lurus, kelansungan manusia terjamin. maruahnya meningkat, kebaikan mewabak, kejahatn terhunjam. kemanusiaan, keadilan, kesejahteraan dan kemakmuran menjadi-jadi.

dan apakah kalau Dia tidak meletakkan hal-hal yang "remeh ini", natijahnya akan memudharatkan manusia. tidak perlu Dia menceritakan tentang sesuatu yang tidak menurunkan taraf kemanusiaan manusia. manusia tanpa memakan roti canai pun masih mulia, manusia tidak ada jalan raya bertingkat-tingkat masih penuh kemanusiaannya, manusia tanpa kipas angin pun masih makmur. jadi untuk apa Tuhan masukkan "kelas mari membuat kicap soya" dalam kitab-Nya?

sebenarnya memang Allah tidak ajarkan manusia tentang hal-hal remah ini tetapi Dia berikan ilham kepada manusia hingga hal-hal remeh ini tercipta, dan memang Dia tidak ceritakan hal-hal remeh ini dalam keseluruh Kitab dan Suhuf. kerana itu janganlah "para bijak pandai" membuat lawak jenaka - lelucon, kerana ini akan mendedahkan kepada kehinaan.

apakah "para bijak pandai" itu tidak memahami bahasanya seorang manusia, atau dengan lebih tepat ialah bahasa Melayu? kata "cara" menuntut kepada penerangan kaedah, bukannya menunjukkan kepada "persoalan". contohnya kalau di tanya: "bagaimana hendak membuka pintu?", jawapannya mesti menerangkan kaedah: "caranya begini - pegang tombol pintu, pulas dan kemudiannya tolah daun pintu". tetapi kalau diberi jawapan sebegini: "tanyalah kepada orang yang buat pintu", maknanya soalan itu tidak dijawab lagi, tetapi satu arahan lain yang diberikan.

jadi kalau disoalkan "cara menebar roti", jawapannya mesti berbentuk begini: "caranya begini... kaedahnya begitu... mula-mula..., kemudian... dan seterusnya". jadi aku bertanya kepada "para bijak pandai" ini: "Apakah ada penerangan semacam itu dalam Al Quran?". maka sepakat mereka menggeleng kepala dan berkata: "Tidak ada". "jadi mengapa diceritakan hal-hal ini?", maka jawablah mereka "Untuk membuktikan bahawa Kitab ini suci, dari Ilahi, semua persoalan ada di dalamnya". maka aku berkata: "bukanlah begitu cara pembuktiannya, ini cara tidak ilmiah, malah tidak beradap kepada Tuhan. apakah layak Tuhan menerangkan cara menebar roti tisu?".

para ilmuan terdahulu, malah hingga sekarang ini [yang mereka itu terbukti memang ilmuan yang beriman dan benar manhajnya] tidak menggunakan metoda ini. sebab di situ ada permasalahan yang lebih "penting" daripada persoalan sebotol sos tomato. persoalan tentang semangat spiritual, yang dengan spiritual ini membawa manusia menjelajah alam dirinya sendiri dan kemudian meneroka alam dunia. kemudian Allah nyatakan kontrak sosial antara manusia dengan Diri-Nya, antara manusia dengan manusia lainnya, antara manusia dengan alam sekitarnya. allah mahu dengan Kitab ini, manusia itu didup dengan keredhaan-Nya.

sedang kicap tidak akan memusnahkan sebuah bangsa tetapi kekejaman akan melumatkan manusia.
malah sebuah kerusi kayu pun belum ada jaminan untuk meraik keredhaan dari Allah.

persoalan-persoalan yang maha besar inilah menjadi tujuan utama sebuah Kitab Suci.

cukup kalau kita katakan bahawa Al Quran sempurna dengan menyatakan beberapa sisi. pertamanya ialah tentang sisi kecacatan yang sifar. kemudian kita nyatakan tentang keagungan bahasanya yang sehingga kini masih tidak ada manusia yang mampu menandinginya. kemudian kita nyatakan bahawa ilmu-ilmu yang terkandung di dalamnya - berupa ilmu kaji alam, ilmu tumbuhan, ilmu fizik, ilmu kimia, dan banyak lagi ilmu, sedang Kitab ini diturunkan sekitar tahun 600 M. padahal masa ini akal manusia tidak secerdik hari ini. kemudian kita nyatakan bahawa setiap perkhabaran yang dinyatakannya adalah benar, tentang sejarah umat-umat terdahulu yang dapat dibuktikan, tentang apa yang dinyatakan akan berlaku [yang kini telah terbukti]. dan tentang hal-hal metafizik seperti kewujudan syurga, nerca dan banyak lagi. sudah cukup kalau kita mempersoalkan tentang batas pengetahuan kita. kalau manusia yang mengerti tentang had akalnya dan seluruh pancainderanya yang terbatas itu, pasti dia akan mengakui perkhabaran ghaib dari Tuhan ini.

dan untuk membuktikan bahawa kitab suci itu lengkap, cukup kalau kita nyatakan bahawa "lengkap" di sini ialah memenuhi kesemua "persoalan hidup" manusia tanpa ditinggalkan, setiap "persoalan manusia" yang berupa soalan "apa", "siapa", "mengapa", "bagaimana" dan "bila", telah di singgung dan dijelaskan dengan terang. dan Allah menerangkannnya dengan kebijaksanaan-Nya yang dengan sebuah kitab itu saja ia mampu memacu sekian banyak zaman. maka haruslah manusia sekelainnya memahami apakah itu makna "persoalan hidup" agar mereka tidak tersasul dalam hidup ini.

begitu juga kita tidak akan menjumpai sebuah hadith pun yang menerangkan tentang membuat inai, wangian za'faran, tentang koposisi sebuah rumah arab badawi. kenapa ya?

1 Comments:

Blogger neezal said...

adi.
please siarkan hikayat isketambola tu.
aku nak sangt baca.
publish sehari je pun takpe.

October 27, 2004 2:07 PM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home