Thursday, September 16, 2004

hikayat isketambola

minta-minta esok aku mampu menulis "hikayat isketambola" cerita tentang bangsa ketam

***

Arakian cerita ini berasal dari hikayat lama, disebut dalam lautan yang dalam di Benua Daksina sana, berdiri sebuah kerajaan makhluk yang namanya ketam di terumbu karang Wisago. entah bagaimana negara itu di namakan sebagai "Isketambola", tidaklah orang tahu melainkan moyang-moyang ketam dahulu kala sahaja.

terumbu karang Wisago sangatlah indah keadaannya, besar meninggi, bunga-bunga mekar sepanjang musim. karangnya baik, arus air laut nyaman, panas sedikit diwaktu musim sejuk dan sejuk sedikit di waktu musim panas. tiada gelora yang melanda, tiada juga jerung yang menyerang. semuanya baik. begitu jugalah baiknya pasir di situ. lalu hiduplah bangsa ketam yang kulitnya agak "cokelat", yang bangsa ini memanggil diri mereka sebagai "Bangsa Ya Yu". tetapi sejak 500 tahun dahulu Isketambola didatangi segerombolan bangsa ketam lain dari benua lain. konon-kononnya ada dua bangsa besar yang datang berhijrah ke sini, satu yang kulitnnya agak gelap dan satu lagi agak kuning. yang gelap itu yang namanya "Bangsa Hin Ya" datangnya bertongkang, dan yang kulit kuning itu yang namanya "Bangsa Cin Ha" juga datang bertongkag. kata dua bangsa ini bila ditanya Dato Dermaga: "kami datang sini sebab Terumbu Karang Wisago khabarnya makmur, negara Isketambola khabarnya gagah!".

lalu hiduplah ketiga-tiga bangsa ketam ini dengan harmoni, walau kadang-kadang ada sedikit dari bangsa yang kelam memusuhi yang kuning, yang kuning memusuhi yang cokelat, yang cokelat memarahi yang gelap, dan seterusnyalah. tetapi itu hanya sedikit sahaja dari semua bangsa ketiga-tiganya itu.

berkerjalah bangsa Ya Yu dengan mengutip makanan. dicarinya ikan-ikan kecil yang menyorok di terumbu karang. kadang-kadang mendaki hingga puncak. kadang-kadang menggorek pasir hingga dalam. dan bangsa Hin Ya pula suka menyorokkan diri dalam rimbunan bunga. melilit-lilit datang bunga itu dengan sepitnya. itulah mata pencarian bagi bangsa kulit gelap sekian lama. sedang yang mencari batu-batu karang oleh bangsa Cin Ha. tapi entah bagaimana akhirnya bangsa yng kuning ini menjadi peniaga dan meninggalkan pekerjaan lama mereka sebagai pencari batu karang. dan ada juga dari bangsa Hin Ya yang jadi peminjan duit tetapi mengenakan imbuhan. dicalitnya tiga jalur warna putih di dahi apabila mahu jadi cheti, si pengutip wang.

di tengah-tengah terumbu Wisago itu terbangun sebuah bangunan indah, besar dan kukuh. berdiam disana para pembesar bersama-sama Raja Chak Kaliyamput. orangnya gemok, sepitnya besar. kalau diangkat sepitnya itu lalu dihempat ke kepala ketam lain, maka hancurlah ia jua. jika sepitnya itu dibuka dan menyepit ia akan kita, maka terputus dua lah kita. istananya besar, dibuat dengan emas dan permata, wangian setanggi menusuk kalbu. dayang-dayang yang mempersonakan menari di tengah singgahsari.

sekali itu datanglah para utusan bangsa cokelat dari desa-desa, menceritakan perihal kampung masing-masing kepada Raja. maka rajapun menggeleng kerana tidak tahu apa yang harus diulahnya kemudian. bertitahlah dia: "Kepala beta pening, sebab tadi beta gering. suruhlah Mamanda menteri uruskan". lalu sepurnama kemudian, para utusan kembali datang, mengadu jua ia kepada raja sekali lagi. dilihatnya oleh utusan akan dia sedang bermain guli dengan dayang istana. takut diganggu nanti murka, disumpahnya jadi kera. ini daulat sang raja. kera dilautan akan mati jua.

setelah lama menunggu di balai rong, akhirnya datanglah raja Chak Kaliyamput menemui para utusan dari kampung. mengadu sekali lagi perihal anak kampungnya yang sering tidak punya makanan. digeleng-geleng kepala oleh Raja bila mendengarnya: "Tidak kah kamu mahu mencari rezeki sendiri? mengadu kepada beta? beta menitahkan kamu sekelian untuk mencari anak-anak ikan di terumbu karang beta ini!". kemudian dia kembali bermain, tapi kali ini ia bermain sorok-sorok dengan para pegawainya pula.

lalu anak kampung yang kebuluran itupun bermesyuarat. bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat. kata putus dicapai: "mahu cari tanah baru, mahu ditebas dan bangunkan rumah. mahu cari rezeki di tempat lain". lalu diutuslah oleh tok ketua kampung akan lima ekor ketam. setelah cukup kiraannya, berangkatlah lima ekor ketam bangsa Ya Yu. setelah sekian lama meredah hutan, menyeberangi jurang, mendaki bukit akhirnya mereka sampai di tanah tinggi. dari atas itu mereka berlima dapat melihat dataran yang hijau, penuh dengan bunga-bunga, banyak anak ikan berenang. lalu tergopoh-gapahlah kelima-lima ketam bangsa Ya Yu ini menuruni bukit. semakin lama semakin laju, semakin dekat mereka dengan dataran semakin berdebar. dan tiba-tiba mata mereka kelam.

bila dibukakan mata, terkejut mereka berlima, sebab mereka sudah berada dalam sebuah lubang yang dalam. hendak berenang keluar tidak mungkin sebab mereka ketam. hendak disepitnya dinding tidak mungkin sebab licin. maka mereka pun melihat-lihat sekeliling. kekanan-kekiri ditolehnya. kedepan dan kebelakang dilihatnya. tak ada apa-apa yang boleh digunakan. sedang mereka bertengkar menyalahkan orang lain tentang perihal kejatuhan mereka kedalam lubang itu, terdengar satu sapaan dari belakang. ditoleh serentak; melihat ada lima ekor ketam dari bangsa Cin Ha.

bangsa Cin Ha memberi usul supaya mereka menghulurkan bantuan, agar selamatlah jiwa bersepuluh semuanya. masing-masing membantu. lalu bermesyuaratlah bangsa Ya Yu, "bangsa Cin Ha ini keparat, hatinya busuk, pencekik darah. mana mungkin mereka ikhlas". lalu ditolah pelawaan itu. kemudian berlalulah ketam bangsa Cin Ha meninggalkan mereka yang masih bertegang urat menyalahkan yang lainnya.

dua ekor ketam bangsa Cin Ha menundukkan badan, kemudian seekor lagi naik berdiri atas yang membongkok itu, kemudian memanjat seekor lagi dan memijak bahu yang berdiri tadi. dan yang tinggal seekor itupun naik menijak yang membongkok, memanjat yang berdiri dua ekor itu. kemudian dia naik keatas sekali, menjengketkan kakinya. dan sepitnya dibuka luas-luas, cuba mencapai akar yang berselirat di muka lubang. akhirnya dia dapat mencapai lalu naiklah keluar dari lubang besar itu. kemudian dia mula menarik sepit bangsanya yang empat dibawah hingga tidak tersisapun jua.

sedang setelah habis bangsa Cin Ha naik ke atas lubang, barulah bangsa Yu Ya terperasan. kemudian mereka memandang masing-masing. "mana mungkin aku boleh percaya sama mereka. kalau mereka naik dahulu, pasti ditinggalkannya aku. oleh itu akulah yang dahulu naik". kelima-limanya berfikiran sama. alangkah ajaibnya bangsa ketam cokelat ini. oleh kerana masing-masing tidak mahu mengalah dan menaruh hasad dengki, maka sampai kesudah mereka berada di situ. apabila dilihat oleh yang lain ada dari mereka berlima memanjat, maka yang lainnya mula menyepit kaki yang memanjat itu hingga kembali ia jatuh ke lantai. begitulah kerja mereka. hingga lewat malam barulah disuluh lambu dari atas. kenudia terdengar suara pelat, cuba menghulurkan bantuan. mahu-tidak mahu maka kelima-lima ketam malang inipun menerima bantuan walaupun terpaksa membuat perjanjian.

setelah berehat secukupnya, maka perjalanan ke dataran luas itupun diteruskan. maka mereka tiba jua akhirnya walaupun penat dan letih. mulalah mereka mendirikan rumah masing-masing. kemudian setelah selasai didirikan rumah itu, merekapun mengutuskan surat, mengatakan bahawa tanah disitu amat sesuai. sudah ditilik dengan kitab Tajul Muluk. kemudian sepurnama kemudian, datanglah rombongan dari kampung. sepurnama lagi, maka sudah wujud sebuah kampung baru di situ, kampung itupun dinamakan sebagai Ma sia.

yang berlima itu sekarang ini sudah terkenal sebagai ketam penyelamat bangsa. lalu berceritalah ketam-ketam penyelamat bangsa ini bahawa mereka dengan gagah menempuh perjalanan yang maha bahaya ini. berlawan dengan jerung hingga jerung tertewas. mereka berlari menyorok bila gergasi kurita mengejar mereka. malah semuanya cerita yang dituturkan oleh mereka berlima itu sangat-sangatlah tidak masuk akal. tetapi kerana mereka itu "si penyelamat bangsa" maka semua yang terkeluar dari lidah mereka berupa cerita benar belaka. sekarang ini si penyelamat bangsa itu mendapat gelar Dato dan Tan Sri-Tan Rri.

apabila si lima yang kononnya berjasa itu melihat banyak makanan dan baju yang perlu digunakan oleh orang kampungnya, terfikirlah mereka untuk berniaga. tetapi jumlah untuk membuka toko mahal harganya; sekitar 5000 dinar. sedang setiap mereka hanya ada 1000 dinar sahaja. di sebelah kampung mereka ada sebuah kampung bangsa Cin Ha, dan di sana juga ada si lima yang terperangkap itu. dan mereka juga sama keadaannya dengan si lima Bangsa Ya Yu. tetapi mereka itu berkongsi dahulu untuk membuka toko. maka jadilah jumpa duit mereka 5000 dinar. purnama pertama mereka membuka sebuah toko, mereka berlima kerja disitu. purnama kedua ada dua toko, puyrnama ketiga ada tiga toko, purnama keempat ada empat toko, dan purnama kelima sudah ada lima toko. maka akhirnya mereka telah ada toko sendiri dengan hanya 1000 dinar apabila mereka bergkongsi. tetapi setelah 10 purnama berlalu masih tiada toko yang dapat dibuka oleh si lima ketam bangsa cokelat itu.

walaupun akhirnya setelah tua mereka dapat juga membuka toko. tetapi hanya dua. tiga ekor berpakat buka toko baju, dua ekor pakat buka toko makanan. tidak lama kemudian seekor ketam dari toko baju membelot yang dua lagi lalu lari. dan seekor ketam dari toko makanan menipu pelanggan. akhirnya kedua-dua toko itupun ditutup sebab tidak untung.

sehingga kini bangsa ketam Ya Yu masih berangan, yang rajanya main gundik, yang pembesarnya bermain kata, yang peniaganya menipu, yang rakyatnya hatinya syak wasangka. tapi mereka semua malas-malas untuk berfikir.

akhirnya mereka mendengar lagu nyanian ketam M Nasir berduet dengan ketam S M Salim: Seloka Cak Kun Cak. hanya dengar saja.


***

Satu masa yang telah silam
Tak dapat diambil kembali
Melayu mashyur serata alam
Hidup mewah gagah sekali
Pahlawan kita nama terbilang
Ditakuti ramai perwira
Melawan musuh tak terbilang

Gerak semangat kerana bangsa

Kelekaan jangan dikenang
Lautan duka kelak dikenang
Hampir tinggal sehelai benang
Bencana sengaja dipinang
Jika perhati bangsa dagang
Kapak beliung ditangan memegang
Kekayaan hendang diregang

Akhirnya saudagar pangkat dijulang

Disulami syair termashyur
Usahlah berdengkur
Kita yang bertafakur

Yang mana khilaf tegur menegur
La..la...la..la...

Kulitnya bersih, hati pun bersih
Budi yang baik hatinya pengasih
Kulitnya bersih hatipun bersih
Memikul belati tiada memilih
Jadikah bersih hatipun bersih
Berkata bermulut fasih
Jadikah bersih, hatipun bersih

Dialah khazanah pintu terpilih
a.a.aa...aa

Awak yang payanh membelah ruyung
Orang bertandang yang beroleh untung
Akhirnya kita tak akan dihitung

2 Comments:

Blogger neezal said...

hikayat.
oh menariknya.
oh oh bagusnya.
oh oh oh panjangnya.
tahniah kerana mampu menulis dgn kuantiti yang besar.
pasti terselitnya entiti kualiti disana.
aku percaya.
sangat percaya.
ps: nanti bila aku sunyi tatkala hujan belum berhenti, aku akan baca. hehih

September 21, 2004 9:40 PM  
Blogger neezal said...

hai.
hujan.belum.berhenti.
jadi.aku.membaca.dala.rasa.kesejukan.ini.
setelah.begitu.banyak.sekali.cubaan.
hingga.berpurnama-purnama.masanya.
hikayat.ini.meresap.juga..
adi..
sinopsis.hikayat.ini.bagai.pernah.disampaikan.secara.verbal.kepada.pendengaran.aku.tidak.lama.dahulu.
bezanya.kini.ia.dalam.bentuk.penulisan.yang.lebih.kaya.ddengan.olahan.dan.paduan.watak.yang.begitu.jelas.
secara.keseluruhan.aku.amat.menggemari.penulisan,ini.
wajar.dipersambungkan.lagi.agar.benar-benar.menyerupai.hikayat.

November 9, 2004 10:50 PM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home